PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman khas kepada golongan belia pada acara kemuncak sambutan Himpunan Sejuta Belia di sini Sabtu ini.
Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, golongan terbabit perlu mengambil perhatian terhadap pengumuman yang istimewa itu.
Bagaimanapun, jelasnya, beliau sendiri tidak mengetahui amanat yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri ketika acara kemuncak tersebut.
“Para belia pasti ingin mengetahui apakah pengumuman yang ingin disampaikan oleh beliau, oleh itu mari bersama kita nantikan pengumuam tersebut,” katanya.
Ahmad Shabery berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan persiapan Himpunan Sejuta Belia di sekitar Putrajaya di sini.
Dalam pada itu beliau memberitahu, Perdana Menteri akan bersama-sama dengan belia menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Liga Juara-Juara Eropah antara Manchester United dan Barcelona di Persiaran Perdana, Putrajaya pada hari berkenaan.
“Berikutan itu, layar skrin gergasi akan diletakkan di Persiaran Perdana bagi membolehkan orang ramai menonton perlawanan berkenaan bersama Perdana Menteri,” jelasnya.
Ahmad Shabery memberitahu, sehingga kini kementeriannya berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan menjelang sambutan berkenaan .
“Kita dapat lihat Putrajaya berubah wajahnya dan ia memberi getaran baru membayangkan kekuatan tenaga orang muda yang akan berhimpun di sini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment