Felda Sg.Dusun mula dibangunkan pada tahun 1962 dengan tanaman utama kelapa sawit. Pada tahun 1966, seramai 119 orang peneroka telah diterima masuk ke rancangan ini yang dinamakan Lembaga Kemajuan Tanah Rancangan Sg. Dusun.
Pada 18 Mac 1970, Presiden Suharto dari Indonesia telah melakukan lawatan ke Felda Sungai Dusun. Tujuan lawatan beliau adalah untuk melihat keberkesanan Program Pembangunan Luar Bandar di bawah pengurusan FELDA (LKTP) yang diilhamkan oleh Kerajaan Malaysia. Sempena lawatan beliau itu, nama Sg. Dusun telah ditukar kepada Felda Soeharto.
Kehadiran peneroka bertambah dari tahun ke tahun sehingga berjumlah seramai 653 orang. Felda Soeharto ditadbir oleh seorang Pengurus dan Ketua Peneroka.
Penduduk Felda Soeharto terdiri dari Melayu (Kedah, Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Perak), Jawa, Banjar dan India dari seluruh negeri di Malaysia. Keluarga Melayu adalah majoriti manakala keluarga India hanya 21 keluarga sahaja.
Sehingga tahun 1997, Felda Soeharto telah bertukar pentadbirannya kepada JKKK Kampong Soeharto di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Hulu Selangor. Semasa inilah pengurusan JKKK di bawah pimpinan Encik Harun b Jamaludin, banyak kemudahan dibawa masuk seperti padang futsal, Balairaya setiap cawangan, longkang, lampu jalan dan sebagainya.
Pada tahun 2007 pentadbiran Kg.Soeharto diserahkan kembali kepada Felda.